Nuffnang Ads

Tuesday, December 28, 2010

Warga emas 110 tahun cari calon isteri.


Lagi wanita warga emas sudi jadi teman Ahmad
Zainab Salleh
KEMAMAN 3 Jan. - Warga emas berusia 110 tahun, Ahmad Md. Isa (gambar) mempunyai lebih pilihan dalam mencari teman hidup untuk mengubat kesepian apabila seorang lagi wanita menawarkan diri untuk menjadi isterinya.
Wanita berkenaan, Zainab Salleh, 70, lebih muda 12 tahun daripada Sanah Ahmad, 82, dari Kuala Lumpur yang mula-mula menawarkan diri untuk menjadi isteri Ahmad selepas membaca kisahnya mencari teman hidup di akhbar baru-baru ini.
Zainab dari Kampung Telaga Papan, Kerteh dekat sini yang tersentuh dengan kisah Ahmad menyatakan kesediaan untuk menjadi isterinya agar usia tua tidak lagi dilalui secara bersendirian.
"Sunyi itu sakit. Jika dia terima, saya sedia tinggal bersamanya di Kedah," ujar Zainab yang kematian suami 15 tahun lalu.
Ibu kepada lapan orang anak berusia 30 hingga 53 tahun itu berkata, dia memahami mengapa dalam usia yang begitu lanjut Ahmad masih memerlukan teman.
Zainab kini tinggal berseorangan selepas anak perempuan yang menemaninya selama ini berkahwin beberapa bulan lalu dan berpindah mengikut suaminya.
Sebelum ini kata Zainab, dia pernah berkenalan dengan seorang lelaki dari Pasir Puteh, Kelantan dan merancang untuk berkahwin, namun hasrat itu tidak kesampaian kerana lelaki itu tidak serius.
"Anak-anak belum tahu mengenai hasrat ini dan saya harap mereka dapat menerimanya. Kalau boleh saya mahu seorang peneman hidup, sekurang-kurangnya dapat berbual dan berkongsi rasa," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sebelum ini Utusan Malaysia menyiarkan tentang keinginan Ahmad untuk berkahwin lagi bagi mengubat kesunyian.
Tahap kesihatan Ahmad yang menetap di Kampung Alor Mengkudu, Alor Setar, Kedah bagaimanapun dilaporkan agak menurun kebelakangan ini.
Ditanya mengenai hajat Sanah yang turut menyuarakan hasrat menjadi isteri Ahmad, Zainab menyerahkan perkara itu kepada takdir.
''Saya maklum ada seorang lagi wanita yang ingin menjadi isteri Ahmad dan saya tidak kisah kerana percaya kepada ketentuan jodoh," katanya.
Zainab yang kelihatan masih bertenaga berkata, tahap kesihatan Ahmad tidak menjadi soal kerana dalam usia emas tiada seorang pun yang sihat berpanjangan
sumber:Utusan Malaysia 04/01/2011





warga emas 110 tahun cari calon isteri lapuran bersambung2 dlm Utusan Malaysia.





Ahmad gembira 'lamaran' Sanah Ahmad

ALOR SETAR 1 Jan. - "Suka... mahu (kahwin) jika ada yang berkenan."

Demikian kata warga emas Ahmad Md. Isa yang berusia lebih 100 tahun ekoran kesudian seorang wanita dari Kuala Lumpur untuk menjadi calon isterinya.

Malah Ahmad turut melahirkan rasa gembira dan terkejut apabila mengetahui masih ada wanita yang bersedia untuk menjadi teman hidupnya.

"Tak kisahlah siapa dia, asal boleh tanak nasi, masak gulai untuk saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Mengkudu di sini hari ini.

Akhbar ini hari ini melaporkan Sanah Ahmad , 82, dari Kuala Lumpur melahirkan hasratnya untuk menjadi isteri kepada Ahmad setelah terbaca kisahnya yang ingin mencari teman hidup baru-baru ini.

Sanah yang hidup sendirian sejak kematian suami 30 tahun lalu itu juga menyatakan keinginannya untuk bertemu Ahmad di sini.

Dalam pada itu Ahmad memberitahu, selepas mendirikan rumah tangga beliau berhajat untuk terus menetap di rumahnya di sini.

"Sekali-sekala mungkin boleh pergi ke rumah perempuan," katanya.

Sementara itu menurut anak perempuan Ahmad, Fatimah, 64, keluarganya sangat terkejut dan berbesar hati dengan hasrat Sanah.

"Namun kami bimbang masalah kesihatan yang dihadapi bapa boleh menimbulkan kesukaran kepada bakal wanita yang mahu mengahwininya itu nanti.

"Sejak kebelakangan ini bapa sering diserang lelah dan batuk," katanya.

Bagaimanapun kata Fatimah, sekiranya keluarga wanita itu benar-benar serius, perbincangan lanjut mengenai perkara itu boleh dilakukan dengan cara baik.

"Apa pun kedua-dua belah keluarga perlu berbincang supaya tidak timbul masalah di kemudian hari," katanya.

Menurut Fatimah, keluarga menyerahkan kepada takdir dan ketentuan Tuhan jika masih ada jodoh bapanya untuk berkahwin lagi.

"Jodoh pertemuan di tangan Tuhan, saya menyerahkannya kepada ketentuan takdir," katanya.

Sumber Utusan Malaysia:02/01/2011


Sanah sedia jadi teman hidup Ahmad




SANAH Ahmad menunjukkan akhbar Utusan Malaysia yang memaparkan berita mengenai Ahmad Md. Isa yang ingin mencari calon isteri di rumahnya di Taman Desa Rejang Setapak Jaya, Kuala Lumpur, semalam. - utusan/ismail kamadin




KUALA LUMPUR 31 Dis. - Cinta yang hadir melalui pandang pertama di dalam akhbar telah cukup membuka ruang di hati seorang wanita warga emas menawarkan dirinya untuk berkongsi hidup dengan Ahmad Md. Isa berusia 110 tahun di Kedah.

Bagi Sanah Ahmad, 82, yang telah menjanda sejak 30 tahun lalu, hatinya terpaut dengan Ahmad dari Kampung Alor Mengkudu, Alor Setar, sebaik sahaja terpandang wajahnya di akhbar, kelmarin.

Menurutnya, dia yang mengetahui niat Ahmad untuk mencari calon isteri segera menyatakan hajatnya untuk menjadi teman hidup lelaki tersebut kepada anak bongsunya, Sabaha Ahmad, 42.

Katanya, dia juga meminta Sabaha agar segera menghubungi keluarga pihak lelaki terbabit untuk mendapat persetujuan menjadi calon isterinya.

"Sejurus terpandang wajahnya, hati saya terpaut kerana mirip mukanya seperti arwah suami saya sebelum ini terutama di bahagian mata.

"Malah namanya juga sama iaitu Ahmad," ujarnya ketika ditemui di rumahnya di Taman Desa Rejang Setapak Jaya, di sini hari ini.

Jelas Sanah, dia bersedia menjadi isteri kepada Ahmad bagi menemaninya sepanjang hidup selain menjaga makan dan minumnya.

Kelmarin akhbar memaparkan kisah Ahmad yang menyatakan keinginannya untuk mencari calon isteri sebagai peneman hidupnya.

Menurut Ahmad, dia pernah berkahwin sebanyak lima kali dan empat daripada isterinya telah meninggal dunia dan hanya bercerai sekali dalam perkahwinannya iaitu dengan isteri kelimanya.

Sabaha pula memberitahu, pada mulanya dia menyangka ibunya berseloroh apabila menyatakan hasrat untuk berumahtangga dengan lelaki itu.

Katanya, sebelum ini ada juga yang berniat untuk mengahwini ibunya namun ditolak kerana hatinya belum terbuka.

"Itulah saya pun pelik juga bila emak melihat wajah encik Ahmad dalam surat khabar, dia terus terbuka hati," katanya.

Sabaha berkata, ibunya juga tidak kisah jika bertemu jodoh dengan Ahmad walaupun lelaki itu ada menyatakan pandangannya rabun dan pendengarannya sedikit terjejas.

"Malah, kami kesemua adik-beradik bersetuju dengan keputusan emak walaupun pada mulanya kami agak terkejut kerana menyangka emak hanya bergurau.

"Namun, kami tidak akan menghalang sekiranya ia adalah untuk kebahagiaan emak," ujarnya.

Sanah yang mempunyai sembilan anak hasil dua perkahwinan dibinanya sebelum ini telah kehilangan suami sejak 1980 lagi.

"Sejak itulah emak mula hidup keseorangan dan merasa kesunyian kerana tiada teman hidup yang menemaninya sepanjang masa.

"Jadi kalau ada jodoh antara emak dan Ahmad bolehlah diibaratkan cinta utara bertemu selatan memandangkan kami berasal dari Johor," ujarnya.

sumber utusan malaysia:01/01/2011


Warga emas 110 tahun cari calon isteri





AHMAD Md. Isa yang gemar makan sireh meluahkan hasrat mahu mencari seorang calon isteri bagi mengubat kesunyian di rumahnya di Kampung Alor Mengkudu, Alor Setar, semalam.




ALOR SETAR 28 Dis. - Biarpun usia seorang warga emas di Kampung Alor Mengkudu di sini dianggarkan menjangkau usia 110 tahun, namun keinginan untuk hidup bersama seorang isteri di sisi tidak pernah pudar.

Ahmad Md. Isa, masih sihat dan mampu menguruskan diri sendiri walaupun matanya rabun dan pendengarannya sedikit terjejas.

Dia juga mempunyai pemikiran yang cerdas dan tidak nyanyuk serta masih mampu mengingati setiap kisah silam yang berlaku dalam hidupnya.

Jelasnya, walaupun anak perempuannya, Fatimah, 64, sentiasa menjaga makan minumnya dengan baik namun dia tetap punya keinginan untuk berkahwin lagi.

"Sunyi hidup seorang diri, nak tidur seorang diri di rumah pun takut. Kalau ada seorang isteri bolehlah menjaga saya," katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Menurut Ahmad, dia pernah berkahwin sebanyak lima kali dan empat daripada isterinya telah meninggal dunia dan hanya bercerai sekali dalam perkahwinannya iaitu dengan isteri kelimanya.

"Hampir setahun saya hidup seorang diri dan saya tidak menetapkan sebarang ciri untuk isteri saya.

"Bagi saya biarlah dapat seorang isteri yang setaraf dengan saya, tapi kalau dapat yang muda, kecil tapak tangan nyiru saya tadahkan," ujarnya sambil ketawa.

Ahmad yang mempunyai lima anak, 20 cucu dan 40 cicit berkata, dia tidak mengamalkan sebarang rahsia untuk kekal sihat.

"Saya makan apa saja yang dihidangkan oleh anak dan isteri dahulu namun saya tidak makan organ dalaman haiwan.

"Hati kena bersih dan jangan buat benda yang dilarang oleh agama serta saling membantu jika ada orang dalam kesusahan tak kira bangsa apa sekalipun," katanya.

Dalam pada itu, cucu Ahmad, Shafinaz Wan Shaban, 33, berkata, datuknya senang diuruskan dan tidak cerewet.

"Paling dia suka ialah kunyah sirih dan bercerita kepada anak cucu yang datang melawatnya.

"Mungkin dia kesunyian apabila kami semua bekerja jadi sebab itulah dia ingin berkahwin semula," ujarnya

sumber:Utusan Malaysia.29/12/2010

No comments:

Post a Comment