Friday, May 17, 2013

Tahir pemburu barangan nostalgik Kosmo 12 Mei 2013


RENCANA UTAMA

Tahir pemburu barangan nostalgik

LELAKI ini mula mengumpul barangan antik sejak lebih 30 tahun lalu.


RUANG tamu rumah Ahmad Tahir Abdul Rahman, 53, di Puchong Prima, Selangor bagaikan muzium barangan terpakai. Rumah pangsa tiga bilik tidur itu sarat dengan bermacam-macam barangan lama.
Sebaik sahaja melangkah masuk, lelaki yang mempunyai tiga orang anak ini terus bercerita tentang obsesnya itu.
“Semasa mula-mula berkahwin dahulu, isteri sering merungut kerana rumah ini daripada ruang tamu, dapur hingga bilik tidur, penuh dengan barangan lama.
“Dia bising sebab saya banyak habiskan duit untuk membeli barangan antik berbanding membelikan barang kemas untuknya,” kata Tahir.
Setakat ini, Tahir telah membelanjakan kira-kira RM60,000 untuk hobinya itu.
“Barangan lama ini mudah mengingatkan saya kepada kenangan lalu sekali gus mendorong saya bermuhasabah tentang diri saya sekarang,” jelas pesara kerajaan ini.

BEKAS tiket yang pernah digunakan konduktor bas Red Yellow Omnibus di Perak masih tersimpan elok.


Hobi
Sebagai contoh kata Tahir, lencana sekolah-sekolah di sekitar Perak yang disimpannya akan mengingatkan dia mengenai suasana persekolahan pada zaman dahulu yang berbeza daripada sekarang.
“Hobi ini akan saya teruskan hingga ke akhir hayat,” katanya.
Koleksi barangan antik yang dimiliki Tahir termasuklah set televisyen, radio, kamera, rantai kunci dan lencana yang jarang-jarang diperoleh kini.
“Itu pun ada yang ditinggalkan di rumah saya di kampung kerana tidak cukup ruang di sini,” katanya yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak.
Tahir teruja menceritakan bibit permulaan dia terlibat dengan dunia barangan antik pada 30 tahun lalu.
“Sebenarnya minat itu berputik semasa sekolah menengah. Pada masa itu, saya suka mengumpul lencana, baju sekolah, tanda nama dan topi.
“Minat itu kemudian beralih kepada peralatan elektrik, produk makanan, minuman serta aksesori dapur,” terangnya.
Tetapi Tahir bersyukur hobinya itu membolehkan dia meraih pendapatan sampingan yang agak lumayan menerusi penjualan barangan lama itu secara dalam talian.
KOLEKSI lencana sekolah mengimbau zaman remaja.


Dikejar anjing
“Syukurlah jualan melalui medium online boleh mencecah ratusan malah ribuan ringgit sebulan.
“Setakat ini, barangan termahal yang dijual ialah seterika arang iaitu pada harga RM1,500 tahun lepas,” ujarnya.
Tambahnya, hasil jualannya pernah mencecah ribuan ringgit dalam dalam tempoh kurang seminggu.
Tahir berkata, kebanyakan barangan lama tersebut adalah hasil pemberian keluarga, saudara-mara dan rakan-rakan.
“Ada juga yang dibeli di pasar-pasar yang menjual barangan antik di sekitar Ipoh, Perak dan Shah Alam, Selangor. Lokasi lain ialah di kedai-kedai menjual barang-barang lama.
“Kebanyakan orang tidak tahu nilai barangan ini malah menganggapnya seperti sampah,” ujarnya.
Tahir tidak dapat melupakan pengalaman dikejar sekawan anjing semasa dia asyik mencari barangan kegilaannya itu di kawasan bekas lombong di Kampar, Perak.
“Mujurlah pada masa itu saya sempat masuk ke sebuah rumah milik seorang lelaki Cina. Dia kemudian bertindak menghalau haiwan itu, kalau tak, tak tahulah apa yang terjadi,” katanya ketawa.
Semasa mencari barangan lama itu juga Tahir dapat bertemu kembali rakan-rakan sekolah yang sudah lama terputus hubungan.
Kenderaan jenis Perodua Viva pula menjadi pengangkutan utama Tahir untuk membawa barangan tersebut. Kalau barangan itu bersaiz besar, van atau lori akan digunakan.
“Kebanyakan barangan itu diletakkan di rumah kampung saya di Kampung Kati, Kuala Kangsar.
“Walaupun rumah itu tiada penghuni, saya akan pulang sebulan sekali untuk membersihkannya,” jelasnya.


No comments:

Post a Comment