Friday, May 17, 2013

Legasi jambatan kereta api tertua Utusan Malaysia 16 Mei 2013


Legasi jambatan kereta api tertua

JAMBATAN Victoria di Karai, Kuala Kangsar ini masih tersergam kukuh dan membangkitkan pelbagai nostalgia kepada penduduk daerah tersebut.
KUALA KANGSAR 15 Mei - Sekilas pandang, pekan Karai di sini yang terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar raya Ipoh, hanyalah sebuah pekan kecil di tepi tebing Sungai Perak.
Tidak seperti dua kawasan berhampiran iaitu Sungai Siput dan Padang Rengas yang dilihat lebih pesat berkembang, Karai umpama sebuah pekan mati.
Sedangkan satu ketika dahulu, nama Karai amat terkenal sehingga wujud dalam peta-peta lama negeri Perak berbanding dengan bandar-bandar lain di Malaysia.
Namun, di sebalik keadaannya itu, tersembunyi keistimewaan yang menyebabkan kawasan tersebut tetap menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.
Salah satu tarikan yang terdapat di Karai ialah Jambatan Victoria iaitu jambatan yang mengambil nama Queen Victoria dan merupakan antara binaan terbaik dari segi kejuruteraan satu ketika dahulu.
Menurut seorang penduduk, Ahmad Tahir Abdul Rahman, jambatan kereta api itu disebut juga Jambatan Enggor kerana letaknya di Enggor di sini.
“Semasa zaman kanak-kanak iaitu sekitar tahun 1970-an, di jambatan itulah saya dan kawan-kawan bermain dan berbasikal untuk menyeberangi Sungai Perak ke pekan Karai.
“Dan boleh dikatakan setiap malam juga kami akan menggunakan jambatan ini untuk melepak di kedai kopi mamak sambil makan kundas dan mendengar alunan radiogram dan ada antara kawan-kawan saya yang berjoget lambak. Namun itu dulu, kini jambatan ini semakin dilupakan," luah Ahmad Tahir yang merupakan pengumpul barang-barang antik dan klasik.
Mengikut sejarahnya, kata Ahmad Tahir, jambatan yang merentangi Sungai Perak ini mula dibina pada Disember 1897 tetapi tidak dapat disiapkan tepat pada masanya kerana berlaku banjir besar ketika itu.
Banjir yang melanda menyebabkan air Sungai Perak naik mendadak dan melimpah sehingga ke tebing.
Jurutera yang bertanggungjawab terhadap pembinaan jambatan ini iaitu GW Fryer, Divisional Engineer dan CR Hanso telah mengarahkan agar kerja-kerja pembinaan ditunda.
Hanya pada tahun 1900 jambatan itu siap dibina dan kemudiannya dirasmikan pembukaannya oleh Sultan Idris Murshidul Azam Shah pada 21 Mac 1900.
Dengan siapnya jambatan ini, maka lengkaplah perjalanan kereta api dari Enggor ke Kuala Kangsar sebelum mula digunakan sepenuhnya bagi perjalanan dari Perai, Pulau Pinang ke Johor Bahru, Johor pada tahun 1910.
“Pembukaan jambatan ini telah membawa banyak faedah kepada perkembangan ekonomi dan membuka laluan bagi pembangunan lebih pesat dan pertumbuhan bandar-bandar timah di Semenanjung Tanah Melayu.
“Semasa serangan tentera Jepun di Perak pada tahun 1941, tentera British telah meletupkan jambatan ini untuk melambatkan kemaraan tentera Jepun," kata Ahmad Tahir.
Sehingga kini, terdapat beberapa kubu asal yang dibina oleh tentera British untuk mengawal jambatan ini.
Bagaimanapun, pada 2002, sebuah jambatan konkrit yang baharu telah dibina bagi menggantikan jambatan yang telah berusia lebih dari 100 tahun itu.
Pembinaan jambatan baharu itu menyebabkan peranan Jambatan Viktoria semakin dipinggirkan.
“Sehinggalah ketika ini jambatan ini hanya digunakan oleh penduduk di seberang Sungai Perak untuk membeli barangan harian di pekan Karai.
“Jambatan ini juga dijadikan lokasi kepada pengamal fotografi untuk mengabadikan seni bina ini di dalam koleksi gambar mereka. Saya rasa sesuatu perlu dilakukan supaya sejarah dan peranan jambatan ini mampu dijadikan satu sejarah negara untuk generasi masa depan," katanya.
Menurut beliau, sutradara terkenal, Mamat Khalid juga pernah memilih Jambatan Victoria sebagai latar pengembaraan filem Zombi Kampung Pisang pada 2007.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Utara/20130516/wu_01/Legasi-jambatan-kereta-api-tertua#ixzz2Tc5xCQYp
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment