Sunday, August 31, 2014

Lencana Besi sambutan kemerdekaan negara ke 27 tahun 1984

Salah satu koleksi Lencana Besi sambutan kemerdekaan negara ke 27 tahun 1984,yang dapat teman selamatkan..

Hitunglah tuan/puan sudah berapa tahun usianya sekarang....?

Bersama ini teman sertakan Ucapan Bekas Perdana Menteri...

Penyampai:DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tajuk:PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN YANG KE-27
Lokasi:MELALUI RADIO DAN TELEVISION MALAYSIA, RTM
Tarikh:30-08-1984
 
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam bahagia.

Alhamdullilah. Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana genap 27 tahun kita telah merdeka dan kemerdekaan tidak membawa bermacam malapetaka, serangan oleh negara lain atau peperangan saudara seperti yang sering berlaku kepada beberapa negara lain. Sebaliknya kita telah berjaya membangunkan negara dengan lebih pesat lagi dan memberi banyak nikmat kepada rakyat berbilang kaum di negara kita, Alhamdullilah.

2. Bagi mereka yang biasa hidup di bawah penjajah perasaan syukur mudah sahaja dirasai terhadap kemerdekaan negara sendiri. Tetapi setelah 27 tahun merdeka bilangan mereka yang tahu bersyukur ini sudah berkurangan. Sekarang hampir 60% daripada penduduk Malaysia terdiri daripada mereka yang dilahirkan selepas merdeka dan tidak pernah merasai pahit maung hidup dijajah. Justeru itu ramai daripada golongan muda ini yang tidak lagi bersyukur dan tidak tahu bersyukur. Mereka menganggap kemerdekaan Malaysia sebagai perkara biasa sahaja dan bukan satu nikmat daripada Tuhan Yang Maha Esa. Oleh itu mereka tidak lagi mempunyai semangat kebangsaan yang mana semangat inilah yang berjaya menjadikan mereka rakyat yang merdeka. Mereka sebaliknya mencaci pejuang-pejuang kemerdekaan dan memperkecilkan pencapaian negara sendiri.

3. Mereka yang tidak tahu bersyukur tidak akan dikurniakan dengan lebih banyak nikmat. Demikian janji Tuhan kepada umatNya. Oleh itu marilah kita hidupkan semula sifat-sifat yang mulia, dan tidak menidakkan nikmat yang telah kita terima.

4. Kemerdekaan ialah satu nikmat kerana kita dapat memerintah dan menentukan nasib kita sendiri, Insya-Allah. Di waktu ini pun terdapat banyak bangsa dan negara yang dijajah. Mereka ditindas dengan begitu kejam sehingga kerapkali mereka terpaksa memberontak melawan bangsa yang menindas mereka walaupun bangsa itu menganuti agama yang sama.

5. Kadang-kadang kita dapati masyarakat yang dijajah itu dipisah daripada agama, kebudayaan dan bahasa mereka. Akhirnya satu jenis genocide berlaku di mana yang dijajah telah hilang identiti mereka, dan dengan itu hilang dari muka bumi ini buat selama-lamanya.

6. Kita di Malaysia amat bernasib baik. Setelah merdeka kita dapat menghidupkan semula identiti kaum, agama dan bangsa kita. Kita dapat hidup berharmoni dan membangunkan negara kita. Walaupun ada seliseh faham dan perpisahan antara kaum, keadaan tidaklah sebegitu buruk sehingga dapat mencetuskan huru-hara.

7. Sesiapa yang tidak bersyukur dengan keadaan di Malaysia tentulah tidak tahu mengenang budi dan insaf. Kita akui bahawa banyak lagi yang perlu dibuat untuk menjadikan kehidupan rakyat lebih selesa. Bermacam-macam kemudahan perlu diadakan. Pendapatan perlu ditinggikan dan peluang perlu ditambah. Kita mahu semua ini dengan serta-merta tetapi kita juga berfikiran waras dan kita tahu ini tidak mungkin tercapai. Kita terpaksa meninggikan taraf hidup kita secara beransur-ansur.

8. Dalam usaha kita meningkatkan taraf hidup kita dan semata-mata kerana ianya serupa dengan yang diamalkan oleh penjajah dahulu. Kita perlu pilih yang mana boleh membawa manfaat dan yang mana yang akan membawa mudarat. Demokrasi yang kita amalkan sekarang ialah daripada sistem barat. Kita semua akui bahawa sistem ini baik kerana rakyat berpeluang menentukan siapa yang akan mentadbir negara. Demokrasi jelas lebih baik daripada sistem feudal atau otokratik di mana penderitaan majoriti rakyat mungkin tidak disedari.

9. Namun demikian demokrasi tidak mendatangkan kebaikan semata-mata kerana sistemnya baik. Banyak negara yang mencuba mengamalkan demokrasi telah gagal kerana kelemahan-kelemahan lain. Sebenarnya demokrasi memerlukan satu sikap yang sesuai daripada pengamalnya di semua peringkat. Kebebasan yang diberi dalam demokrasi bukanlah tidak terbatas. Kebebasan demokrasi ialah sekadar ianya akan membela rakyat. Jika kebebasan ini diamal tanpa tanggungjawab terhadap ketenteraman dan keamanan atau kebebasan, jika ia diguna untuk merebut kuasa bagi menghapuskan demokrasi, maka kebaikan demokrasi itu sendiri boleh membawa kecelakaan.

10. Sebab itu kita harus berwaspada dan mengawasi orang-orang yang dengan lantang mengguna demokrasi untuk menegakkan sistem yang akan menamatkan demokrasi. Mereka ini ingin menegakkan pemerintahan oligarki komunis atau sistem pemerintahan mullah yang mereka cuba bayangkan sebagai sistem Islam. Sebenarnya pemerintahan mullah bukan Islam, bahkan bertentangan dengan Islam. Ia dibentuk beberapa kurun selepas wafat Nabi Muhammad s.a.w dan Khalifah Al-Rasyidin di zaman kemerosotan Islam berasaskan rasa fanatik. Sistem ini adalah satu jenis diktatorship yang didokong oleh sekumpulan orang-orang yang tertentu yang tamakkan kuasa.

11. Mereka ingin supaya mereka boleh bermaharajalela, untuk menghukum dan menjalankan hukuman tanpa pengadilan yang teratur. Segala sistem dan peraturan yang tidak mendewa-dewa dan mencontohi sistem mullah dianggap sebagai tidak Islam dan sekular. Mereka sudahpun bermula dengan mengkafirkan orang Islam dengan sewenang-wenangnya, memulau dan mencaci-cerca sesiapa yang tidak terima tafsiran mereka.

Mereka ingin memaksa semua kaum dan penganut agama supaya tunduk pada mereka. Hari ini mereka menggunakan demokrasi untuk mendapat sokongan. Tetapi apabila sudah mendapat kuasa, maka mereka bukan sahaja akan menghapuskan demokrasi, tetapi mereka akan menindas semua rakyat dengan pemerintahan mullah. Dalam Islam tidak ada orang perantaraan dan tidak ada orang yang maksum antara ummah dengan Tuhan.

12. Demokrasi juga tidak boleh membawa kebahagiaan semata-mata kerana kita boleh memilih Kerajaan yang akan memerintah. Kuasa memilih, seperti juga lain-lain kuasa boleh mendedahkan kita kepada rasuah. Kita mungkin memaksa Kerajaan mengambil tindakan yang tidak bijak semata-mata kerana kepentingan jangka-pendek kita. Demikianlah dengan tuntutan-tuntutan yang keterlaluan yang dibuat terhadap Kerajaan. Kita tahu bahawa jika tuntutan-tuntutan itu dilayan, negara dan kita sendiri akan mendapat akibat yang buruk akhirnya. Tetapi kerana kita tahu kita boleh memberi kemenangan atau mengalahkan Kerajaan dalam pilihan raya, kita buat juga tuntutan. Akhirnya akan binasalah negara.

Akan hancurlah demokrasi. Akan rugilah kita. Sekali lagi Demokrasi boleh membawa keburukan walaupun asasnya baik.

13. Yang ketiga ialah berkenaan dengan pembangunan dalam demokrasi. Dengan sendirinya demokrasi tidak dapat membangunkan negara. Demokrasi cuma memberi lebih kemungkinan supaya kita boleh membangunkan negara.

Pembangunan akan tercapai jika kita sanggup mengamalkan nilai-nilai yang baik yang boleh meningkatkan daya pengeluaran kita. Nilai-nilai yang dimaksudkan ialah kerajinan, amanah, disiplin dan lain-lain.

Tuan-tuan dan puan-puan,

14. Tema perayaan Hari Kebangsaan tahun ini ialah "Amanah Asas Kejayaan". Awal-awal lagi patut kita ingat bahawa bukan amanah sahaja yang diperlukan untuk kejayaan. Walaupun demikian amanah tetap merupakan satu daripada nilai hidup yang sangat penting jika kita hidup bermasyarakat. Tidak ada sesuatu kerja yang boleh dibuat dengan sempurna tanpa amanah.

15. Setiap orang daripada kita berkuasa. Mungkin kuasa ini terhad. Mungkin cuma berkenaan dengan perbelanjaan wang, atau tugas, tanggungjawab, pengawasan, pelaksanaan, kawalan, penguatkuasaan aturan atau undang-undang atau arahan, atau lain-lain lagi yang diamanahkan kepada kita. Jika kita tidak beramanah sudah tentu segala kerja tidak akan sempurna dan matlamat tidak akan tercapai. Jika kita menjadi satu bangsa yang tidak beramanah, maka mustahil bagi kita membangunkan negara untuk kepentingan jangka panjang kita sendiri.

16. Akibat tidak ada amanah amatlah buruk kepada diri kita dan kepada masyarakat. Kita tidak dapat membuat apa-apa kerana semua kerja memerlukan penglibatan orang lain bersama. Bagaimanakah dapat kita membuat sesuatu jika kita tidak boleh yakin dan percaya kepada orang lain yang terlibat. Mungkin tugas yang diperlukan adalah kecil, tetapi seperti kata pepatah 'sedikit-sedikit menjadi bukit'.

Jika masyarakat kita terkenal kerana kurang beramanah, maka bukan sahaja kita tidak akan jadi efisien dan produktif, tetapi kepercayaan orang lain kepada kita juga akan berkurangan. Dengan itu keadaan kita akan lebih sukar dipulih.

17. Sebaliknya jika kita terkenal sebagai orang yang beramanah, bukan sahaja kepercayaan orang kepada kita akan kukuh tetapi segala kerja akan berjalan dengan licin dan berkesan. Sudah tentu kita akan menjadi lebih produktif, yang mana ianya akan membawa kebahagiaan kepada kita.

Alangkah leganya hati jika kita boleh yakin sesuatu yang diamanahkan kepada seseorang itu akan terlaksana seperti di rancang. Sekali lagi jika kita terkenal sebagai satu bangsa yang beramanah, agak mudah sahaja kita mendapat peluang dan mencapai kejayaan.

18. Sebenarnya amanah bukanlah satu beban yang berat. Apa yang dikehendaki ialah kejujuran kepada diri kita dan kesedaran bahawa akhirnya kita akan beruntung kerana amanah. Setelah kita menerima bahawa sesuatu yang diamanahkan kepada kita tidak dapat tidak mesti dibuat, maka beban itu akan menjadi ringan. Apatah lagi apabila kita tahu kita akan mendapat nikmat daripada tugas yang dijalankan dengan penuh amanah itu.

19. Jika kita dapat menyemaikan sifat beramanah di kalangan rakyat di negara ini, maka semua tugas dan kerja akan diselesaikan seperti yang dirancangkan. Alangkah baiknya jika ini berlaku setiap kali. Sudah tentulah negara akan berjaya. Sebab itulah kita memberi tekanan utama kepada amanah pada tahun ini dan seterusnya. Ini tidak bermakna lain-lain nilai yang baik tidak penting. Hanya yang kita cuba ialah menyerap satu nilai demi satu nilai kerana kemampuan kita mungkin terhad. Walaupun demikian nilai-nilai yang lain hendaklah kita cuba amalkan bersama.

20. Desakan supaya beramanah tidak ditujukan kepada rakyat semata-mata. Kerajaan sendiri diamanahkan supaya memerintah negara untuk kebaikan semua rakyat. Justeru itu, di hari ini kita bukan sahaja ingin memberi ingatan kepada rakyat, tetapi juga kepada Kerajaan.

21. Apabila kita menyebut Kerajaan di negara ini, kita bermaksud pemimpin-pemimpin yang dipilih oleh rakyat untuk memerintah negara. Saya sedar ini termasuklah diri saya sendiri serta rakan-rakan saya dalam Jumaah Menteri dan kementerian-kementerian serta wakil-wakil rakyat.

22. Kita tidak lupa akan amanah ini dan kita sering memberi ingatan kepada diri kita sendiri bahawa tempat dan kuasa yang diberi bukanlah untuk diri sendiri atau untuk keluarga atau kawan. Tempat dan kuasa ini adalah untuk rakyat dan negara.

23. Dengan ikhlasnya saya ingin nyatakan bahawa kita telah cuba menjalankan tugas yang diamanahkan kepada kita. Segala dasar dan tindakan yang diambil adalah untuk kebaikan rakyat dan negara. Mungkin kadang-kadang kebaikan ini tidak begitu jelas, terutama dalam jangka pendek. Mungkin kadang-kadang ada golongan-golongan yang berasa mereka diabaikan atau tertindas. Tetapi niat Kerajaan apabila membentuk sesuatu dasar, atau undang-undang, atau mengambil tindakan ialah supaya akhirnya seluruh masyarakat akan dapat kebahagiaan, termasuklah bagi mereka yang berpendapat mereka dianaktirikan atau tertindas. Tidak ada pentadbiran di dunia ini yang boleh memerintah dengan penuh amanah tanpa menimbul perasaan tidak puas hati kepada sekurang-kurangnya beberapa golongan dalam negara. Namun demikian Kerajaan akan cuba berusaha supaya amanah yang diberi kepada Kerajaan tidak membawa masalah kepada sesiapa, sekurang-kurangnya dalam jangka panjang.

24. Tidak ada manusia yang tidak cacat. Yang penting bagi manusia bukan kesempurnaan 100% atau perfection, tetapi usaha yang ikhlas ke arah kesempurnaan. Cuma Tuhan sahaja yang sempurna.

Tuan-tuan dan puan-puan,

25. Pada Hari Kebangsaan yang ke-27 ini, marilah kita mendedikasi diri kita kepada kebaikan Bangsa dan Negara Malaysia. Marilah kita meningkatkan amanah supaya kita akan mendapat nikmat darinya, baik di dunia atau pun di akhirat.

26. Kemajuan negara adalah kemajuan kita dan kemajuan kita adalah kemajuan negara. Tidak ada sesiapa yang akan rugi kerana mengamalkan nilai-nilai yang baik terutamanya amanah.

27. Hingga kini kita telah banyak mendapat nikmat, sama ada kerana usaha kita atau tidak. Marilah kita bersyukur kerananya. Marilah kita insaf semula akan nasib baik kita kerana kita merdeka dan kita bebas daripada malapetaka.

Dengan keinsafan dan kesyukuran ini, dengan amanah yang akan menjadi sebahagian daripada peribadi kita, insya-Allah kita akan terus hidup bahagia, berharmoni antara semua kaum, aman dan damai.

28. Ingatlah, 'amanah asas kejayaan' dan berpeganglah kepada amanah setiap kali kita membuat sesuatu. Kita tidak akan kecewa dan kita tidak akan rugi, Insya-Allah.

29. Rayakanlah hari yang bahagia ini kerana ia adalah tanda kesyukuran kita, dan keinsafan kita terhadap kemerdekaan serta nikmat daripadanya. Mudah-mudahan kita akan terus merdeka buat selama-lamanya. Akhirnya saya ucapkan kepada semua rakyat negara ini selamat menyambut Hari Kebangsaan yang ke-27.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

No comments:

Post a Comment