Saturday, November 16, 2013

Irama Ilham P.Ramlee..

Koleksi kaset Irama Ilham P.Ramlee Isketambola,teman jumpa di Pasar Seni,KL..



 ARKIB : 09/11/1998

Isketambola meminati P. Ramlee

Nama P. Ramlee terus hidup dalam kenangan peminat-peminatnya. Meskipun telah kembali ke rahmatullah 25 tahun lalu tetapi lagu-lagu dan filem lakonannya terus diterima oleh peminat.
Malah peminat juga tidak jemu-jemu memberi sokongan kepada mereka yang tampil dengan imej dan suara yang mirip seniman itu.
Minat dan rasa kagum terhadap kebolehan P. Ramlee telah membawa kepada penubuhan kumpulan Isketambola. Kumpulan ini dianggotai oleh lima artis yang terdiri daripada Musly, S. Azli, Rahim Dalmiah, Nazri Phangyaou dan Hamidah.
Mereka menghargai seniman itu dan menghidupkan kembali zaman kegemilangannya dengan mengadakan semula persembahan 'ala P. Ramlee'.
Kumpulan ini telah mengikat kontrak sebagai artis syarikat Munofazah Enterprise yang dimilik oleh bekas Ketua Pengarah Arkib Negara, Datuk Zakiah Hanum.
Menurut Musly, kumpulan ini ditubuhkan pada Julai tahun atas inisiatif Zakiah yang begitu menghargai karya seni P. Ramlee.
''Beliau mencadangkan kepada kami supaya menubuhkan sebuah kumpulan. Daripada situ kami bergerak dan mengadakan persembahan untuk mengembalikan kegemilangan P. Ramlee, '' jelasnya.
Isketambola menerima undangan untuk mengadakan persembahan di seluruh negara. Persembahan mereka lebih berkonsep sketsa yang dipetik daripada babak-babak tertentu melalui filem-filem popular P. Ramlee seperti Labi Labi, Ibu Mertuaku, Penarik Beca dan Do Re Mi.
Bagi menyesuaikan dengan keadaaan semasa, dialog-dialog yang terdapat di dalam sketsa itu diubah secara spontan oleh anggota kumpulan ini.
Persembahan itu juga diselangseli dengan nyanyian lagu-lagu popular P. Ramlee seperti Bunyi Gitar, Jangan Tinggal daku, Getaran Jiwa dan Taman Firdausi.
Anggota kumpulan ini dianggap sebagai mempunyai ciri-ciri yang sama dengan kebolehan seniman agung itu seperti boleh menyanyi, berlakon dan berlawak.
Malah melihat gaya percakapan dan perawakan Musly sendiri ada mirip P. Ramlee pada zaman mudanya.
Bagimanapun Musly dan rakan-rakannya yang lain tidak senang jika mereka dianggap sebagai jelmaan P. Ramlee.
''Tugas kami hanya untuk menghiburkan peminat melalui lagu-lagu P. Ramlee. Kami hanya meminjam gayanya untuk dipersembahkan kepada khalayak yang merinduinya.
''Kami tidak mahu dianggap P. Ramlee kedua atau ketiga. Kami juga bukan jelmaan P. Ramlee. Kami adalah insan seni yang mahu mengembalikan semula kegemilangan seniman yang menjadi kebangaan semua,'' jelasnya berkali-kali.
Sebagai menghargai peminat seniman itu juga, Isketambola telah merakamkan sebuah album sketsa yang akan dipasarkan tidak lama lagi.
Album ini berjudul Irama Ilham P. Ramlee Isketambola. Antara lagu yang terdapat di dalam album ini ialah Kisah Rumahtangga, Saat Yang Bahagia, Rukun Islam, Hancur Badan Dikandung Tanah dan Assalamualaikum.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1109&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=et_02.htm#ixzz2krWAHCcj
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment